MPV Ahli Parlimen Dungun Terbakar Di LPT2

01/09/2025 04:26 PM

DUNGUN, 1 Sept (Bernama) -- Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli terbakar dalam kejadian di KM330 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), menghala ke Kuala Terengganu di sini tengah hari tadi.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan Bomba ll Rohaya Jamil berkata Wan Hassan bersama isteri yang dalam perjalanan pulang ke Dungun dari Kuantan, Pahang terselamat setelah berjaya keluar dari MPV jenis Toyota Vellfire itu.

Beliau berkata kenderaan Ahli Parlimen Dungun berkenaan musnah hampir 95 peratus dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

"Bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira 12.47 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh dikerah ke lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rohaya berkata operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos dari tangki air jentera bomba dan berjaya dikawal pada 1.17 tengah hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan