Polis Kesan Anggota TUDM Dilaporkan Hilang Lebih Seminggu

01/09/2025 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  dilaporkan hilang lebih seminggu dengan kali terakhir dikesan selepas mandi bersama rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali dekat sini pada 23 Ogos.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, bertugas di Pangkalan Tentera Udara Subang dan kini dalam tempoh menjalani kursus penyelia pengangkutan kenderaan di Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT), TUDM Bandar Kinrara, Puchong.

“Muhammad Ammar kali terakhir dilihat pada 23 Ogos, 4.30 petang ketika mandi bersama tiga rakannya yang merupakan anggota TUDM, sebelum kelihatan seorang diri selepas itu.

"Esoknya (24 Ogos), kira-kira 6 petang rakan sebilik kursus menghubungi lelaki itu namun mendapati telefon bimbitnya dimatikan sebelum anggota TUDM dari INSMAT membuat laporan polis pada 25 Ogos, 4.16 petang kerana Muhammad Ammar tidak melaporkan diri semula ke institut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata anggota TUDM itu berkulit cerah dan berambut pendek serta lurus dengan ketinggian kira-kira 175 sentimeter.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan individu berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Sukri Che Mat di talian 03-80762222/03-80713136,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan