KUALA LUMPUR 3 Sept (Bernama) -- Sekumpulan warga asing yang leka berjudi dalam sebuah premis di Jalan Bedara, Bukit Bintang di sini antara 770 ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen (JIM) malam tadi.
Terkejut dengan serbuan itu, ada di antara mereka cuba melarikan diri dengan memanjat bangunan, bersembunyi di bawah meja dan menyorok dalam premis perniagaan, namun semuanya berjaya ditahan.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM Basri Othman berkata mereka ditahan dalam Op Belanja dari 7.30 hingga 10.30 malam, susulan aduan orang awam sejak tiga minggu lepas berhubung warga asing menjadikan kawasan berkenaan sebagai lokasi aktiviti sosial.
“Penguat kuasa turut menemukan sebuah premis perjudian dalam talian dilengkapi sistem pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan ketika pintu dipecahkan, terdapat tujuh warga asing leka berjudi tanpa menyedari kehadiran anggota operasi,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan malam tadi.
Basri berkata dalam operasi itu, 106 pegawai penguat kuasa memeriksa 2,445 individu iaitu 1,600 warga asing dan 845 warga tempatan, sebelum menahan 770 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan.
Mereka ditahan terdiri daripada 377 lelaki Bangladesh, lelaki Myanmar (235 orang), lelaki Nepal (72 orang), lelaki India (58 orang), 17 lelaki dan dua wanita Indonesia serta tiga lelaki dan enam wanita dari negara lain.
“Mereka berusia antara 21 hingga 65 tahun dibawa ke JIM Putrajaya untuk saringan awal sebelum ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil di sini dan Lenggeng, Negeri Sembilan bagi siasatan lanjut,” katanya.
Antara kesalahan dilakukan ialah di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(c) iaitu tiada dokumen perjalanan sah serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Siasatan juga dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Basri mengingatkan orang ramai serta majikan tidak melindungi pendatang tanpa izin dan orang ramai mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada JIM bagi membantu operasi penguatkuasaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial