Inkues Zara Qairina: Pasukan Pembelaan Lima Remaja Diterima Sebagai Pihak Berkepentingan

03/09/2025 12:57 PM

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) -- Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan peguam yang mewakili lima remaja yang didakwa dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, diterima sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang dijadual bermula pada 2 petang.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai Koroner, membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, serta barisan peguam bagi lima remaja berkenaan.

“Perkara ini dibantah oleh SLS dan pasukan peguam ibu Zara Qairina. Pegawai pengendali pula tidak mengemukakan sebarang bantahan. Setelah meneliti hujahan semua pihak, saya berpendapat kepentingan semua perlu dilindungi. Oleh itu, saya memutuskan peguam bagi pihak remaja berkenaan diterima sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini,” kata koroner berkenaan.

Perkara  itu dibawa semula ke hadapan Koroner Amir Shah hari ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol semalam, yang mengetepikan keputusan terdahulu oleh Koroner Azreena Aziz, yang turut membenarkan peguam terbabit mengambil bahagian sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Duncan menegaskan bahawa peguam terbabit bebas mengemukakan permohonan semula di hadapan Koroner Amir Shah, yang kini mengendalikan kes berkenaan selepas Koroner Azreena menarik diri.

Koroner Azreena, yang juga Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, menarik diri daripada mengendalikan kes itu atas alasan beliau menetap di Papar, iaitu lokasi sekolah agama yang dihadiri Zara Qairina, meskipun menegaskan beliau tidak mengenali individu yang didakwa terbabit.

Sejurus selepas keputusan mengenai kemasukan peguam itu, Koroner Amir Shah turut menetapkan 11 Sept bagi lawatan ke lokasi kejadian di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, pada 9.30 pagi. Prosiding inkues akan bersambung pada 2 petang dengan pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja berkenaan dijadual memberi keterangan.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu. Remaja berkenaan sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri tepi longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.

Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan