56 Anggota Keselamatan Berjaya Tamat Kursus CTT, Sniper 69 Komando

03/09/2025 01:56 PM

IPOH, 3 Sept (Bernama) -- Seramai 56 anggota keselamatan hari ini menamatkan Kursus Counter Terrorist Team (CTT) dan Kursus Sniper 69 Komando Siri 1/2025.

Kursus yang berlangsung sejak 15 Jun lalu itu melibatkan enam pegawai dan 50 anggota lain-lain pangkat, dengan latihan merangkumi kemahiran menembak, serbuan taktikal, operasi tempur jarak dekat serta simulasi krisis keselamatan ekstrem.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Ismail berkata kejayaan menamatkan kursus tersebut bukan sahaja mencabar ketahanan fizikal, malah menguji kesabaran, disiplin, ketajaman mental serta daya tahan emosi anggota yang terlibat.

“Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya satu amanah besar untuk terus cemerlang mempertahankan benteng keselamatan negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan kursus berkenaan.

Turut hadir Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim dan Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari.

Khalid berkata penyertaan ‘pasukan sahabat’ termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan Gerup Gerak Khas (GGK), Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) dalam kursus itu membuktikan integrasi serta solidariti yang kukuh antara agensi keselamatan utama negara.

Sementara itu, Hamzah berkata para peserta akan meneruskan fasa seterusnya iaitu Sea Combat (SECOM) yang menekankan penguasaan operasi pertempuran di permukaan dan bawah permukaan air, sebelum mengikuti Kursus Taktikal Payung Terjun.

“Sepanjang latihan, peserta didedahkan dengan pelbagai bentuk ancaman kontemporari melalui darat, laut dan udara, bagi melahirkan infantri komando yang versatil serta menjadikan unit ini pasukan multispektrum,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, 69 Komando sedang dalam proses mengemukakan cadangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembinaan kuarters baharu di Kem Sultan Nazrin Shah (Kem SNS).

“Kem ini bukan sahaja berperanan melahirkan infantri pasukan khas Polis Diraja Malaysia, malah turut menjadi platform kerjasama strategik dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara, selain simbol kesiapsiagaan serta komitmen berterusan kami mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan