Empat Hari Menanti, Isteri Yakin Nelayan Hilang Masih Ada

03/09/2025 06:19 PM

TUMPAT, 3 Sept (Bernama) -- Empat hari menanti tanpa tidur lena, Che Bunga Yaakob, 55, masih menggenggam harapan suaminya, Ahmad Hussin, 71, yang dikhuatiri lemas selepas keluar memancing seorang diri di perairan Tumpat, Ahad lepas, akan pulang ke pangkuan keluarga.

Walaupun operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) sudah masuk hari keempat, dia yakin suaminya masih ada malah anak-anaknya turut merasakan kehadiran bapa mereka.

“Saya harap ada keajaiban. Sudah dua malam saya bermimpi dia pulang. Semalam wajahnya tersenyum, kelmarin pula dia kata seronok berjalan jauh. Setiap kali tersedar, saya hanya mampu beristighfar dan berdoa dia segera ditemui,” katanya kepada Bernama di Pantai Geting di sini hari ini.

Nelayan warga emas yang juga bapa kepada tujuh anak itu dilaporkan keluar memancing menaiki bot fiber dari Jeti Tanjung Kuala pada 7.30 pagi Ahad lepas untuk mencari ikan kerisi dan cencaru, namun gagal pulang seperti kebiasaan pada tengah hari.

Che Bunga berkata sebelum kejadian, suaminya menunjukkan perubahan sikap apabila lebih banyak berdiam diri, selain kerap batuk dan sesak nafas serta sempat berpesan mengenai ternakan lembu mereka.

“Dia suruh saya keluarkan empat ekor lembu dan cerut (berkas) rumput untuk diberi makan. Katanya, dia balik lambat sebab mengail. Saya tak sangka itu pesanan terakhir,” katanya.

Che Bunga berkata penduduk kampung bersama keluarga turut mengadakan solat hajat dan bacaan yasin sejak hari pertama pencarian manakala anak-anak dan menantu berkampung di Pantai Geting menanti perkembangan operasi.

Semalam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan memperluas operasi Carilamat seorang warga emas yang hilang di perairan Tumpat sejak Ahad lepas, meliputi kawasan seluas 412.15 batu nautika persegi di perairan negeri itu.

Operasi yang dijalankan di sekitar perairan dari Pengkalan Kubur hingga Kuala Besar itu turut menggunakan beberapa aset bot dan sebuah helikopter.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan