BALIK PULAU, 4 Sept (Bernama) -- Seorang guru lelaki yang didakwa mengelar isterinya dengan sebilah pisau bulan lepas diperintah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Ipoh oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin membenarkan tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, dirujuk ke hospital berkenaan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Terdahulu, ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa, tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya menjawab “tidak faham” apabila ditanya sama ada beliau memahami pertuduhan berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Nazmi Izzuddin didakwa melakukan cubaan bunuh menggunakan sebilah pisau yang diketahuinya boleh menyebabkan kematian terhadap isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah mereka di Taman Tunas Muda, Sungai Ara dekat sini pada 5.45 pagi, 27 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya R. Lushani memohon mahkamah mengeluarkan arahan rasmi agar tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia bagi penilaian lanjut, selaras dengan saranan doktor di Hospital Pulau Pinang.
Peguam bela Yazid Khairul Azman yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan itu.
Mahkamah menetapkan 8 Okt depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kesihatan mental tertuduh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial