Kecederaan Zara Qairina Sepadan Akibat Jatuh, Bukan Dipukul – Pakar Patologi

04/09/2025 03:21 PM

KOTA KINABALU, 4 Sept (Bernama) - Seorang pakar patologi forensik yang menjalankan bedah siasat ke atas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa remaja berusia 13 tahun itu dipercayai sama ada melompat atau bergayut sebelum ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu.

Dr Jessie Hiu, 58, yang berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak 1998, berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan kedudukan serta lokasi penemuan mangsa.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan pegawai pengendali kes, Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad, pada hari kedua prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.

Dalam keterangannya semalam, Dr Hiu menjelaskan bahawa berdasarkan ketinggian dan kelebaran penghadang konkrit, ketinggian palang besi melintang, serta ketinggian mangsa sebelum kematian, adalah berkemungkinan untuk mangsa memanjat penghadang, melintasi palang besi berkenaan, dan berdiri di atasnya.

Pada prosiding hari ini, Dr Hiu turut mengesahkan beberapa gambar yang dikemukakan Badius Zaman, iaitu gambar diambil semasa demonstrasi di lokasi kejadian pada 2 Ogos oleh seorang pegawai perubatan yang membantunya dalam siasatan tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan