Najib Gagal Mulakan Prosiding Komital Kerana Hina Mahkamah Terhadap Bekas AG

04/09/2025 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi memperoleh kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh atas dakwaan menghina mahkamah.

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati Najib gagal membuktikan kes prima facie bagi perbuatan menghina mahkamah.

Pada 21 Mei lepas, Najib memfailkan permohonan tersebut terhadap Terrirudin, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, berhubung isu dokumen tambahan yang didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Dalam penghakimannya, Loke berkata Najib gagal membuktikan kes prima facie berkaitan tindakan menghina mahkamah dan permohonan itu adalah berdasarkan spekulasi semata-mata. 

Beliau berkata justeru itu, responden (Terrirudin) tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk mengesahkan atau menafikan kewujudan dokumen tambahan seperti yang didakwa di peringkat ini.

Loke berkata tanpa bukti jelas yang menunjukkan bahawa responden secara peribadi telah bertindak seperti didakwa dan mengambil kira peranan yang dimainkan oleh Jabatan Peguam Negara dalam permohonan bagi kebenaran, dakwaan itu adalah terjumlah kepada spekulasi semata-mata.

"Kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa terdapat arahan khusus untuk mengemukakan hujah yang tidak benar dengan hanya bersandarkan kepada pendirian pegawai-pegawai responden untuk membantah permohonan ini.

"Kesan prosiding menghina mahkamah adalah serius dan mahkamah ini akan berhati-hati serta tidak akan bertindak berdasarkan andaian semata-mata," katanya.

Loke juga berkata permohonan Najib bagi prosiding menghina mahkamah banyak bergantung kepada kejadian yang berlaku selepas itu termasuk pengenalan dokumen tambahan di peringkat Mahkamah Rayuan.  

Beliau berkata ketika memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman, Najib sendiri tidak pasti akan kewujudan dokumen tambahan itu. 

“Selepas dibenar mengemukakan dokumen tambahan itu, pemohon kini berhujah bahawa ia wujud dan responden sememangnya menyedari perkara tersebut… bagaimanapun, ketika permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman difailkan, pemohon sendiri tidak pasti mengenai kewujudannya,” kata beliau. 

Hakim itu juga berkata permohonan bagi prosiding menghina mahkamah hanya difailkan pada Mei 2025 iaitu hampir setahun selepas Jabatan Peguam Negara membantah semakan kehakiman Najib pada April 2024. 

Beliau berkata tempoh yang panjang itu telah melemahkan kekuatan tuntutan Najib dan tidak mewajarkan remedi luar biasa iaitu prosiding komital. 

Loke turut memerintahkan Najib membayar kos sebanyak RM20,000.

Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan AG berkaitan kewujudan dokumen tambahan itu dan mengarahkan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran berhubung isu merit.

Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi memaksa responden mengesahkan dan mendedahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan 2024.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga memohon perintah bahawa jika dokumen tambahan tersebut terbukti wujud maka semua atau mana-mana responden hendaklah menguatkuasakannya segera dan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara.

Najib telah menjalani hukumannya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan. 

Bagaimanapun, petisyen beliau untuk pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 telah menyaksikan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukumannya kepada penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan