Dua Kanak-kanak Lemas: Polis Tahan Lelaki Dan Wanita Beri Keterangan Meragukan

05/09/2025 08:56 AM

SEREMBAN, 5 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki dan wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak yang lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki bapa kepada dua kanak-kanak itu dan wanita berumur 41 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada 8 malam tadi, selepas didapati memberi keterangan meragukan berhubung kejadian tersebut.

"Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai 16 rekod lampau termasuk empat kes masih dikehendaki berkaitan tipu dan jenayah manakala wanita tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. 

"Hasil saringan ujian air kencing kedua-duanya adalah negatif. Semakan ke atas kereta tersebut mendapati kenderaan itu pernah dilaporkan hilang sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Alzafny meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau Pegawai Penyiasat ASP Husairin Che Hussin di talian 012-9654927 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, Alzafny berkata pada 11.45 pagi semalam pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai Tanjung Agas, Port Dickson dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalamnya.

Beliau berkata siasatan mendapati kanak-kanak tersebut masing-masing berumur enam dan lapan tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor, dipercayai lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan. 

Semalam, Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin dilaporkan berkata kanak-kanak perempuan berjaya dinaikkan ke darat pada 1.24 tengah hari manakala kanak-kanak lelaki pula pada 1.47 tengah hari dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa dua kanak-kanak serta lelaki dan wanita itu sedang berehat sambil memancing di kawasan terbabit dan secara tiba-tiba kenderaan yang berada dalam keadaan parkir secara tiba-tiba menggelongsor jatuh ke dalam sungai. 

Katanya ketika kejadian lelaki tersebut berada di luar kereta manakala mangsa berada di dalam kenderaan bersama seorang wanita namun dia berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada berdekatan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan