Polis Keluar 24 Saman, Sita 13 Motosikal Dalam Ops Samseng Jalanan Di Iskandar Puteri

06/09/2025 01:50 PM

ISKANDAR PUTERI, 6 Sept (Bernama) -- Polis mengeluarkan 24 saman trafik atas pelbagai kesalahan jalan raya dan menyita 13 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar Lebuhraya Nusajaya, Lebuhraya Link Kedua (arah ke Tuas) dan kawasan Kangkar Pulai, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata sebanyak 20 motosikal ditahan, manakala semua saman itu dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng berusia antara 15 hingga 28 tahun.

Beliau berkata pihaknya turut menahan tiga individu berumur 18 hingga 20 tahun bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan kenderaan mereka turut disita di bawah Seksyen 64 akta sama.

“Antara kesalahan yang dikesan termasuk ubah suai struktur kenderaan (ekzos), nombor pendaftaran fancy, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada perlindungan insurans dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan turut memberikan amaran keras dan tiada kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba melakukan aktiviti samseng jalanan di kawasan Iskandar Puteri, yang jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam daerah Iskandar Puteri terjamin,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan