BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
JOHOR BAHRU, 7 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun ditahan polis selepas kereta Audi A6 yang dipandunya merempuh dua motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, kereta terbabit dari arah Skudai dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua motosikal jenis Kawasaki EX250 milik URB yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
“Dua anggota polis masing-masing berusia 29 dan 36 tahun sedang melaksanakan kawalan lalu lintas di lokasi kemalangan. Seorang daripadanya cedera di kaki kiri dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, manakala seorang lagi anggota serta pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil saringan ujian pernafasan alkohol terhadap pemandu itu didapati positif, manakala ujian awal air kencing pula negatif dadah.
“Suspek direman selama dua hari bermula 7 hingga 8 Sept 2025 selepas mendapat kebenaran Mahkamah Johor Bahru. Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah,” katanya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000 selain penggantungan lesen memandu selama 10 tahun.
Balveer Singh turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlina Abdul Raof di talian 019-7432966.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial