Tiada Bukti Kukuh Lelaki Eksploitasi Dua Anak Di TikTok - Exco

07/09/2025 06:46 PM

GEORGE TOWN, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang telah menjalankan siasatan awal terhadap dakwaan eksploitasi ke atas dua beradik lelaki oleh bapa mereka di aplikasi TikTok, yang tular baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata JKM telah merekodkan keterangan lelaki yang terkenal dalam media sosial itu dan turut menghubungi bekas isterinya yang juga ibu kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut untuk siasatan kes.

"JKM menerima aduan melalui sistem Talian Kasih pada 9.30 pagi 2 Sept lepas berkaitan dakwaan eksploitasi terhadap dua orang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dan setahun yang dikatakan turut terkenal di media sosial.

"Mereka didakwa telah dieksploitasi oleh bapanya mereka melalui TikTok bagi tujuan mengaut keuntungan antaranya pendedahan berlebihan dalam kandungan video, desakan untuk menghasilkan kandungan bagi mendapatkan ‘gift’ atau sumbangan daripada penonton serta penglibatan dalam aktiviti ulasan berbayar serta temu mesra (meet and greet)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lelaki itu memaklumkan aduan yang dibuat terhadapnya adalah tidak sahih dan terdapat unsur salah faham terhadap situasi sebenar serta mendakwa penglibatan anak-anaknya dalam aktiviti yang dipaparkan di media sosial dilakukan secara santai tanpa melibatkan sebarang unsur paksaan.

Lim berkata hasil siasatan awal menunjukkan tiada bukti kukuh yang menunjukkan kanak-kanak itu dipaksa atau dieksploitasi secara berlebihan bagi tujuan keuntungan peribadi.

"Namun pihak JKM Pulau Pinang telah memberikan khidmat nasihat kepada lelaki itu agar memastikan setiap penglibatan anak-anak dalam kandungan media sosial dibuat secara sukarela dan sesuai dengan umur serta tahap perkembangan mereka.

"Turut dinasihati agar mengehadkan kekerapan dan tempoh aktiviti penggambaran supaya tidak menjejaskan waktu rehat, pendidikan dan kesejahteraan emosi kanak-kanak serta mengelakkan pendedahan berlebihan mengenai kehidupan peribadi kanak-kanak di media sosial atau ruang awam," katanya.

Beliau berkata bapa kanak-kanak itu juga perlu sentiasa mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak dalam setiap keputusan, selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan JKM negeri akan terus memantau kes berkenaan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, media melaporkan lelaki berusia 33 tahun itu dipanggil memberi keterangan di Pejabat JKM Daerah Barat Daya di Balik Pulau susulan dakwaan mengeksploitasi dua anaknya.

Beliau turut berdepan aduan mengerah anaknya untuk bekerja, bersikap garang ketika bersiaran langsung serta memaksa melayan pengikut demi meraih pendapatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan