Wanita Cuba Serang Sultan Nazrin Didakwa Lakukan Kekerasan Jenayah

08/09/2025 11:51 AM

IPOH, 8 Sept (Bernama) -- Wanita yang cuba menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri lepas, hari ini didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap baginda di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

Nurshazwani Afni Mohamad Zorki, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, Nurshazwani Afni didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan iaitu melakukan kekerasan jenayah ke atas Sultan Nazrin di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 31 Ogos, 8.20 pagi.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum sehingga tiga bulan penjara atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memohon supaya pertuduhan dibacakan tanpa pengakuan kerana pemeriksaan awal mendapati tertuduh mempunyai penyakit skizofrenia. 

Nasrul Hadi juga memohon agar tertuduh menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. 

Katanya ia bagi pengesahan penyakit skizofrenia yang dihadapi tertuduh dan menilai kewarasannya semasa kejadian serta boleh membuat pengakuan bagi dibicarakan. 

Majistret kemudian membenarkan permohonan tersebut. 

Tertuduh diwakili peguam M. Saravanan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. 

Pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak lepas, seorang wanita ditahan kerana menceroboh pentas utama dan cuba menyerang Sultan Nazrin ketika lagu kebesaran negeri berkumandang. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan