Tembak Polis: Sembilan Individu Direman Seminggu

08/09/2025 03:38 PM

IPOH, 8 Sept (Bernama) -- Sembilan individu direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung dengan penemuan mayat seorang wanita di dalam kenderaan suspek yang dipercayai menembak dan menikam seorang anggota polis di Simpang Pulai, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata sembilan individu itu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita.

"Perintah reman yang bermula dari hari ini hingga Ahad dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah di Mahkamah Majistret manakala usaha memburu suspek utama masih diteruskan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, seorang anggota polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini akibat terkena tembakan di bahagian perut dan tikaman pisau semasa bergelut dengan suspek yang disyaki terlibat dalam kes bunuh di kebun kelapa sawit berhampiran sebuah kilang di Simpang Pulai pagi semalam.

Dalam kejadian pada 1.15 pagi itu, pemeriksaan lanjut terhadap kereta suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan