Polis Pahang Lupus Dadah Bernilai Lebih RM519,000

08/09/2025 03:43 PM

KUANTAN, 8 Sept (Bernama) -- Polis Pahang melupuskan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai lebih RM519,000 hasil rampasan dari seluruh negeri sejak 2011 hingga tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pelupusan itu melibatkan 2,656 item meliputi 15 jenis dadah dan dilupuskan esok oleh syarikat kontraktor bertauliah di Bukit Tagar, Bestari Jaya, Selangor. 

Antara dadah terlibat ialah heroin seberat 3.35 kilogram (kg), methamphetamine (1.70kg) kanabis (727.23 gram), ketamin (71.12 gram), nimetazepam (72.56 gram), yaba (200.1 gram) dan ekstasi (171.9 gram). 

“Pelupusan dilaksanakan selepas menerima perintah mahkamah berhubung kes selesai prosiding dan tamat tempoh rayuan bagi hukuman dikenakan kepada pesalah terbabit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini. 

Yahaya memaklumkan dari Januari hingga Ogos tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang telah melakukan 9,365 tangkapan melibatkan 8,252 kes.

“Sebanyak 144 operasi dilaksanakan dalam tempoh berkenaan bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan