KANGAR, 9 Sept (Bernama) -- Seorang pembantu kebajikan masyarakat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan bawah umur pada tahun lepas.
Muhammad Zamir Abdul Wahab, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Dia dituduh melakukan perbuatan berkenaan terhadap remaja perempuan berumur 17 tahun tujuh bulan itu di tepi tangga dan di sebuah bilik bersebelahan Pejabat Pembantu Kebajikan Masyarakat, kuarters sebuah rumah kanak-kanak di Perlis antara November dan Disember tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu berserta syarat tambahan, iaitu tidak boleh mendekati mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada 1 haribulan setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof dan Lizawati Salamon.
Mahkamah menetapkan 9 Okt depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial