Lelaki Vietnam Didenda, Dipenjara Atas Lima Tuduhan Termasuk Cuba Cederakan Bayi

09/09/2025 04:41 PM

BUTTERWORTH, 9 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki warga Vietnam didenda RM20,000 dan penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan, termasuk cuba mencederakan dua lelaki dan bayi berusia 11 bulan. 

Nguyen Minh Hoa, 36, mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Vietnam di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua lelaki masing-masing warga tempatan dan Nepal menggunakan sebilah pisau di sebuah pasar raya di Telaga Air di sini pada1 tengah hari, 9 Ogos lepas.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa cuba mendatangkan kecederaan terhadap bayi lelaki berusia 11 bulan menggunakan sebilah pisau di lokasi dan masa yang sama.

Ketiga-tiga pertuduhan itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman ini, jika disabit kesalahan. 

Untuk pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa mencuri udang, ketam merah, kerang, ikan cencaru dan ayam bernilai RM180 milik pasar raya berkenaan pada 12.35 tengah hari, 9 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa tinggal di negara ini selepas tamat pas lawatan pada 18 Okt 2024, iaitu sembilan bulan 22 hari tanpa alasan munasabah, satu kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Nguyen Minh Hoa yang tidak diwakili peguam didenda RM20,000 bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan sekiranya gagal bayar akan dipenjara 23 bulan.

Bagi pertuduhan keempat, dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkap, manakala bagi pertuduhan kelima dikenakan hukuman penjara lima bulan bermula dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis Asisten Superintendan Nor Aziah Hasan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan