Mahkamah Tangguh Keputusan Kes Pelarasan Pencen

09/09/2025 06:36 PM

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan kerajaan terhadap semakan kehakiman mengenai pelarasan bayaran pencen berdasarkan gaji akhir kepada pesara seperti termaktub dalam Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2016 yang berkuat kuasa mulai Januari 2022.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lim Chong Fong menangguhkan keputusan selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili kerajaan serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam selaku perayu dan peguam Datuk Dr Abd Shukor Ahmad yang mewakili pesara Aminah Ahmad.

“Kami memerlukan masa untuk meneliti hujahan kedua-dua belah pihak sebelum membuat keputusan. Pengurusan kes ditetapkan pada 17 Sept ini,” kata Hakim Lim yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Aminah, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan tahun lalu atas kapasiti beliau sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.

Pada 16 Jan lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, membenarkan semakan kehakiman itu dan mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA )serta kerajaan membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan.

Bagaimanapun, pada 4 Mac lepas, Amarjeet membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran tunggakan pencen kepada 531,976 pesara berjumlah RM1.7 bilion, sementara menunggu pelupusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Aminah memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden mempercepatkan pelarasan pencen mengikut jumlah kelayakan berdasarkan formula terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980), sebelum ia dipinda menerusi Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau turut memohon perintah supaya tunggakan pencen dibayar dalam tempoh 14 hari, selain pengisytiharan bahawa kegagalan berbuat demikian adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji semasa penjawat awam yang masih berkhidmat dalam gred berkenaan. Namun, pindaan 2013 memperkenalkan kaedah baharu dengan kenaikan kadar tetap dua peratus setahun.

Terdahulu, Ahmad Hanir berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila memutuskan doktrin res judicata, issue estoppel dan penyalahgunaan proses mahkamah tidak terpakai, sedangkan isu semakan gaji yang menjadi asas permohonan semakan kehakiman itu sudah dibangkitkan secara langsung melalui Saman Pemula (OS) difailkan Aminah pada 2017.

“Responden (Aminah) tidak berhak memperoleh perintah mandamus untuk mengarahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam membuat pelarasan bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi tujuan pengiraan pencen seperti diperuntukkan bawah Seksyen 3 dan 6 PAA 1980,” katanya.

Sementara itu, peguam Abdul Shukor, yang dibantu peguam kanan Datuk Dr Baljit Singh Sindhu, berhujah semakan kehakiman Aminah bukan penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia dibuat berikutan keengganan berterusan kerajaan untuk melaraskan pencen walaupun selepas keputusan Mahkamah Persekutuan 2023.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan