JOHOR BAHRU, 10 Sept (Bernama) -- Seorang pemandu pelancong warga emas berputih mata selepas wang simpanan peribadinya sebanyak RM125,000 lesap akibat terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulangan hingga 200 peratus.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mangsa, lelaki tempatan berusia 72 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada Mei lepas sebelum mendakwa dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram.
Beliau berkata mangsa yang tinggal di Larkin di sini, kemudiannya berhubung dengan pengendali kumpulan itu selepas menekan pautan iklan tersebut.
"Mangsa yakin dengan tawaran lumayan itu dan diminta memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank dan perlu menunggu sebulan untuk mendapat keuntungan yang dijanjikan.
"Namun, mangsa hanya menerima RM100 dan masih diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungannya," katanya dalam kenyataan.
Raub berkata mangsa telah melakukan 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza dari 26 April hingga 11 Julai lepas.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial