SPRM Anjur Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti Dan Antirasuah

12/09/2025 02:21 PM

PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Kebangsaan (GIAR) Kali Keempat akan berlangsung dua hari bermula 18 Sept, bagi memperkasakan perkongsian antirasuah dan menjadi medan perbincangan isu pelanggaran integriti serta kelemahan tatakelola. 

Persidangan bertemakan “Pembanterasan Rasuah: Bertunjangkan Tatakelola Baik dan Pembudayaan Integriti” anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) diadakan di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang, Selangor.

Pengarah Kanan BPGN Datuk Idris Zaharudin berkata persidangan itu wadah tepat untuk perancang dasar serta pemain industri menilai, merancang serta melaksanakan tindakan strategik ke arah membina negara berintegriti, mantap tatakelola, bebas rasuah dan sejahtera.

“Persidangan ini juga suatu platform penyampaian secara terbuka kepada semua pemegang taruh yang berkaitan dengan tajuk pembentangan untuk mereka mengambil cakna sekiranya terdapat syor penambahbaikan untuk diterapkan di agensi masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pembentangan tahun ini melibatkan 11 tajuk penyelidikan oleh 10 institusi penyelidikan dalam negara termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).  

Beliau berkata hasil dapatan penyelidikan yang dicadangkan dalam kertas penyelidikan akan diangkat ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbangkan dalam proses penggubalan dasar negara.

“Ia melibatkan aspek governans, integriti dan antirasuah, antaranya melalui platform Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dan Jawatankuasa Tatakelola Nasional (JTK) Peringkat Kebangsaan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan