Bapa Dua Kanak-kanak Lemas Mengaku Tidak Bersalah Sebabkan Kematian Anak

12/09/2025 02:36 PM

SEREMBAN, 12 Sept (Bernama) -- Seorang bapa berusia 46 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian dua anaknya di muara Sungai Linggi, Tanjung Agas, Port Dickson, pada 4 Sept lepas.

Abdul Rahman Mahmud membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak berusia enam tahun dan lapan tahun dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian pada 11.45 pagi pada 4 Sept lepas.

Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M.Pusppa tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan dilakukan adalah serius manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam menangis dan merayu agar jaminan diberikan kerana mahu menziarahi kubur anak-anaknya itu.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Nov ini bagi sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh dan seorang wanita berusia 41 tahun direman berhubung kematian dua kanak-kanak yang masing-masing berumur enam dan lapan tahun.

Dalam kejadian pada 4 Sept lepas, dua beradik lelaki dan perempuan lemas apabila terperangkap di dalam kereta yang menggelongsor ke dalam Sungai Tanjung Agas Linggi.

Bapa mereka terselamat kerana berada di luar kereta ketika kejadian manakala seorang wanita yang turut berada di dalam kenderaan itu berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Jenazah kanak-kanak berkenaan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Maqbarah Salimah, Taman Intan Perdana, Port Dickson pada 9 Sept lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan