Polis Tahan Tiga Lelaki Bantu Siasatan Kes Hasutan, Ugutan Jenayah Di Media Sosial

12/09/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan tiga kes berasingan melibatkan penyebaran video dan komen di media sosial yang mengandungi unsur hasutan serta ugutan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan kes dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman antara 8 hingga 12 Sept susulan laporan diterima.

Beliau berkata kes pertama pada 8 Sept melibatkan suspek 35 tahun memuat naik komen berunsur hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan ugutan jenayah terhadap pemimpin negara melalui akaun Facebook ‘Jibbie Sahaq’.

“Kes kedua pada 11 Sept melibatkan lelaki 69 tahun ditahan selepas menyampaikan ucapan berunsur hasutan dan ugutan jenayah dalam satu insiden di Kampung Sungai Baru di sini.

“Kes ketiga juga pada 11 Sept melibatkan lelaki 27 tahun memuat naik komen berunsur ugutan jenayah terhadap pemimpin negara serta kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam melalui akaun Facebook Ayien Rose,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut  Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 507 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau menegaskan polis tidak berkompromi terhadap individu menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, ugutan jenayah atau sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan negara.

“Orang ramai dinasihatkan lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial dan menghormati undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan