Mayat Ditemukan Dalam Bungkusan Di Sungai, Disyaki Dibunuh

13/09/2025 08:16 PM

IPOH, 13 Sept (Bernama) -- Polis mengklasifikasikan penemuan mayat dalam bungkusan di tepi sungai berhampiran tanah perkuburan Orang Asli di Kampung Kerawat, Simpang Pulai semalam, sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata hasil pemeriksaan forensik ke atas mayat itu mendapati, mangsa meninggal dunia disyaki kerana dipukul dengan objek tumpul.

“Siasatan mengesahkan mangsa seorang lelaki dewasa, namun butiran identitinya belum dapat dipastikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abang Zainal berkata setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh.

Semalam, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun menemukan satu bungkusan disyaki mengandungi mayat di kawasan sungai berhampiran Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Kerawat, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini.

Siasatan awal polis di tempat kejadian bersama Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mengesahkan terdapat satu bungkusan tersangkut pada batang pokok di tepi sungai, disyaki mengandungi mayat dan identiti mangsa masih belum diketahui.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan