650 Pegawai, Anggota Polis Bertugas Semasa WTD, WTC

18/09/2025 01:29 PM

MELAKA, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 650 pegawai dan anggota polis akan bertugas sempena Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 serta Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 29 Sept depan.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata ia bagi mengawal keselamatan lebih 150 delegasi dari luar negara yang dijangka tiba untuk menyertai acara bertaraf antarabangsa itu.

"Kami turut memohon bantuan Bukit Aman terutama membabitkan tambahan pegawai dan anggota polis bagi mengawal lalu lintas serta kenderaan pengiring bagi mengiringi kenamaan yang tiba dan pulang nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (Ex Kesidang) 2025 di Dewan Bistari, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas mengenai latih amal berkenaan, Dzulkhairi berkata ia dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai persediaan bagi WTD dan WTC nanti.

Beliau berkata latih amal itu disertai kira-kira 40 agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dzulkhairi juga berkata latih amal kali ini menekankan mengenai Arahan MKN 18 dan 21 yang memberi tumpuan kepada ancaman keganasan serta bencana sebagai persiapan agensi berkaitan sempena dua acara penting berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan