ALOR GAJAH, 18 Sept (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) bernilai kira-kira RM10,000 dalam kejadian di Jalan Besar Kemuning, Gadek, di sini, Ahad lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah DSP Azrul Mohamed berkata kejadian kira-kira pukul 3.10 pagi itu dikesan anggota rondaan cegah jenayah yang ternampak sebuah kereta mencurigakan.
“Hasil pemerhatian mendapati tiga lelaki sedang mencuri kabel sebelum bantuan kereta peronda dipanggil. Kereta dinaiki suspek berusia 29 tahun cuba melarikan diri namun berjaya dikejar sejauh lima kilometer sebelum terbabas di Jalan Keru, Kemuning. Seorang suspek ditahan manakala dua lagi melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas sebuah Proton Wira, dua pemotong wayar, 61 batang kabel dipotong, 10 gelung kabel, dompet dan sebatang anak kunci.
Azrul berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, usaha mengesan dua lagi suspek giat dijalankan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).
“Suspek direman empat hari bermula 14 Sept bagi siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial