Kesalahan Kenderaan Berat Bawa Lebih Muatan Di Kelantan Catat Peningkatan - JPJ

18/09/2025 07:00 PM

KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Kes kesalahan membawa muatan berlebihan membabitkan kenderaan berat mencatatkan peningkatan di Kelantan sejak Januari hingga Ogos tahun ini berbanding tempoh sama pada 2024.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata 13 kes telah direkodkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, manakala 1,080 kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tempoh sama pada 2024 yang mencatatkan 16 kes di bawah APAD 2010 dan 890 kes di bawah APJ.

"Nilai kompaun yang dikenakan juga meningkat bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini iaitu RM126,000 berbanding RM58,000 bagi tempoh sama tahun lepas.

"Antara kesalahan lebih muatan ini membabitkan kenderaan yang membawa bahan binaan seperti batu, pasir, balak dan tanah selain bahan mentah seperti bijih besi serta batu bongkah," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Setia Khas Bulan September 2025 dan Sambutan Maulidur Rasul dan Paluan Berundur Timbalan Pengarah JPJ Kelantan di sini hari ini..

Mengulas lanjut, Mohd Misuari berkata pihaknya memandang serius kesalahan tersebut kerana ia bukan sahaja menyebabkan kerosakan infrastruktur jalan raya malah meningkatkan risiko kemalangan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Kami juga menyeru agar semua pengendali kenderaan perdagangan mematuhi had muatan yang ditetapkan demi keselamatan dan kelestarian infrastruktur negara.

"Orang awam juga digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lebih muatan melalui saluran rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan," katanya.

Sementara itu, berhubung Ops Gempur Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan bermula 1 hingga 17 Sept (semalam), Mohd Misuari berkata 5,358 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah itu 2,415 kesalahan direkodkan membabitkan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh, lebih muatan, muatan bahaya serta tiada insurans. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan