Pejabat Sultan Selangor Buat Laporan Polis Akaun Palsu Guna Imej Tengku Permaisuri

19/09/2025 07:33 PM

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) -- Pejabat Sultan Selangor membuat laporan polis berhubung kewujudan akaun palsu di aplikasi TikTok yang didakwa memanipulasi serta menyalahgunakan gambar Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut hantaran di Facebook rasmi Selangor Royal Office, akaun palsu berkenaan turut dikesan menggunakan gambar beberapa individu dan tokoh lain, dipercayai bagi tujuan penipuan (scam).

"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu seumpamanya di laman media sosial, selain sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum mempercayainya bagi mengelak  menjadi mangsa penipuan,” menurut hantaran itu.

Selangor Royal Office turut menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak pengendali aplikasi sekiranya mengesan akaun mencurigakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada Istana Selangor berhubung perkara berkenaan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan