Dua Anggota Polis Dipenjara, Denda Terima Rasuah RM800

22/09/2025 04:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap dua angota polis selepas didapati bersalah menerima rasuah RM800 untuk tidak melakukan tangkapan dan melaporkan kesalahan khalwat, lima tahun lepas.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Lans Koperal Nur Fikri Mohd Fadzilee, 28, dan Koperal Mohd Fazly Hambali, 39, selepas mendapati pembelaan mereka tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai.

“Mahkamah juga mendapati kedua-dua tertuduh gagal untuk menjawab anggapan di bawah Seksyen 50(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di bawah imbangan kebarangkalian,” katanya.

Rosli memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan mereka dipenjara dua bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama didakwa memperoleh wang tunai RM800 daripada seorang pegawai polis yang baru menamatkan latihan dan pasangannya yang disyaki berkhalwat dalam sebuah kenderaan antara 12 tengah malam dan 2.20 pagi 1 Okt 2020 di sebuah hentian bas di Presint 8, Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fadhly Mohd Zamry serta Pegawai Pendakwa Mohd Hanafi Firdhaus Abd Latif manakala Nur Fikri diwakili peguam Muhammad Afiq Audy Basharudin dan Mohd Fazly tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan