KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa minit mesyuarat yang ditandatangani oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kebanyakannya adalah kelulusan semata-mata dan bukan resolusi yang bersifat mengikat.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee berkata bekas Perdana Menteri itu secara konsisten telah menyerahkan kuasa membuat keputusan kepada Lembaga Pengarah (BOD) SRC International Sdn Bhd (SRC) selaras dengan Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A).
"Saya ingin tegaskan semula bahawa hampir semua minit yang ditandatangani Datuk Seri Najib hanyalah berbentuk kelulusan, bukannya resolusi.
"Dalam beberapa kes apabila perkataan 'resolved' digunakan, perenggan terakhir minit itu sentiasa mengandungi syarat bahawa semua keputusan mesti dibuat secara muktamad oleh BOD selaras dengan M&A SRC, yang sudah tentu termasuk tanggungjawab untuk bertindak demi kepentingan terbaik syarikat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam hujah penutup pada perbicaraan kes saman USD1.18 bilion SRC terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.
Muhammad Farhan juga berhujah bahawa Najib tidak pernah, pada bila-bila masa, menggunakan kuasa mutlak sama ada melalui M&A atau mana-mana resolusi pemegang saham yang dikatakan telah dikeluarkan oleh beliau.
“Datuk Seri Najib sentiasa menyerahkan perkara itu kepada BOD untuk membuat keputusan selayaknya secara bebas," katanya.
Selepas semua pihak selesai berhujah, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata beliau akan menetapkan tarikh lain untuk menyampaikan keputusan.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas hujahan yang begitu menyeluruh... saya memerlukan sedikit masa untuk meneliti dan menimbangnya sebelum membuat keputusan," katanya.
SRC, di bawah pengurusan baharu, telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa, menyeleweng dana syarikat dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana berkenaan.
SRC menamakan Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta Tan Sri Ismee Ismail sebagai defendan.
Keenam-enam individu kemudian digugurkan daripada saman itu.
Bagaimanapun, Najib telah menambah mereka sebagai pihak ketiga dalam saman berkenaan.
Syarikat berkenaan menuntut ganti rugi, faedah, kos dan deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami SRC akibat pelanggaran tanggungjawab serta amanah, dan menuntut beliau membayar semula kerugian berjumlah USD1.18 bilion yang ditanggung oleh syarikat itu.
SRC juga memohon perintah supaya Najib membayar USD120 juta dan Nik Faisal membayar USD2 juta kepada syarikat itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial