SHAH ALAM, 3 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama tekong dan empat kru warga asing kerana melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan Pulau Ketam, dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata bot bersama kru warga asing itu ditahan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan kira-kira 20.6 batu nautika dari daratan.
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama empat kru, kesemuanya warga Myanmar berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun.
“Bot berkenaan juga didapati telah melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit kerja sah serta menggunakan mata pukat kurang daripada 38 milimeter yang dilarang dalam operasi penangkapan ikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Muhaimin berkata dua kru terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata bot serta semua warga asing terbabit termasuk hasil tangkapan ikan campur seberat 800 kilogram dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, iaitu penggunaan mata pukat kurang daripada 38 milimiter dan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial