KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 yang akan dibentang esok dijangka memberi tumpuan kepada usaha memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selaras dengan perancangan mewujudkan angkatan masa hadapan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, belanjawan berkenaan akan menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan agenda tersebut yang telah dirangka melalui Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan pada Februari lepas.
“Saya percaya belanjawan ini juga akan mengambil kira cabaran-cabaran yang telah kita nyatakan akan dihadapi negara, sama ada cabaran tradisional atau bukan tradisional.
“Pada masa sama, saya yakin belanjawan ini akan terus memberi tumpuan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota tentera,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025-2026 di sini, hari ini.
Pelancaran KTP 2025-2026 disempurnakan oleh Penaungnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga isteri Perdana Menteri.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata penerangan membabitkan status terkini perolehan pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet akan dibuat selepas semua maklumat berkaitan diperoleh sepenuhnya.
Media sebelum ini melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan penilaian menyeluruh sebelum memuktamadkan perolehan pesawat F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait.
Pada 7 Okt tahun lepas, Mohamed Khaled semasa lawatan rasminya ke Kuwait telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan negara itu bagi mendapatkan pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan ATM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial