PUTRAJAYA, 9 Okt (Bernama) -- Helah seorang ejen haram yang menawarkan perkhidmatan imigresen palsu kepada warga asing terbongkar apabila lelaki warga tempatan itu ditahan dalam operasi khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini pada Selasa.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang dijalankan pada 4.10 petang itu hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Suspek itu ditahan bersama lapan pasport India dan satu telefon bimbit, manakala sebuah kenderaan jenis Honda CRV yang digunakan untuk kegiatan itu turut disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek menawarkan perkhidmatan imigresen berkaitan Pas Khas dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) kepada warga India di Lembah Klang dengan bayaran antara RM400 hingga RM1,500 bagi setiap urusan.
“Suspek tidak mempunyai kebenaran daripada JIM atau sebarang surat kuasa mewakili majikan untuk menguruskan pasport warga asing,” katanya.
Zakaria berkata semakan mendapati suspek pernah ditangkap pada 2024 atas kesalahan sama dan telah dikenakan hukuman.
“Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala seorang lagi lelaki warga tempatan diberikan notis hadir bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial