Deepavali: Polis Johor Lancar Operasi Cahaya, Tumpu Keselamatan Dan Trafik Musim Perayaan

15/10/2025 04:55 PM

JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Polis akan melaksanakan Operasi Cahaya di seluruh negeri ini bagi memastikan keselamatan awam dan kelancaran aliran trafik sempena sambutan perayaan Deepavali.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata operasi berkenaan akan menumpukan kepada aspek pencegahan jenayah dan pengurusan lalu lintas di pintu masuk utama negeri khususnya Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah.

Beliau berkata semua jabatan di bawah polis kontinjen Johor turut digerakkan untuk melaksanakan operasi masing-masing mengikut keperluan termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

“Mereka juga akan melaksanakan operasi secara berasingan mengikut keperluan di kontinjen Johor. Kita bersedia melaksanakan operasi bagi pencegahan jenayah dan memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku di negeri ini.

“Dari segi aliran trafik, kita menjangkakan akan berlaku kesesakan, khususnya melibatkan pergerakan keluar masuk warga Singapura melalui Tambak Johor serta kemasukan pelawat dari Indonesia seperti Batam dan sebagainya. Bagaimanapun, kita telah bersedia menghadapi situasi ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata semua pegawai dan anggota akan digerakkan sepenuhnya sepanjang tempoh perayaan bagi memastikan keselamatan awam serta kelancaran trafik khususnya di lokasi tumpuan umum.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan