KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Mahkamah Agung Sepanyol telah menolak rayuan yang difailkan oleh penimbang tara Gonzalo Stampa terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya kerana menghina mahkamah dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia.
Menurut kenyataan Bilik Operasi Sekretariat Khas Sulu, dalam keputusan sebulat suara yang diumumkan pada 8 Okt lepas, mahkamah berkenaan telah mengekalkan hukuman penjara enam bulan serta perintah larangan terhadap Stampa daripada bertindak sebagai penimbang tara selama setahun seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Jenayah Madrid pada 22 Dis 2023.
Keputusan ini memuktamadkan semua prosiding jenayah berkaitan kes tuntutan Kumpulan Sulu terhadap Malaysia di Sepanyol.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa keputusan tersebut telah diterima oleh Kerajaan Malaysia hari ini.
"Keputusan muktamad ini juga menegaskan bahawa pematuhan terhadap perintah yang sah merupakan asas utama kepada keadilan dan integriti dalam proses penyelesaian pertikaian," menurut kenyataan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata Malaysia menyambut baik keputusan bersejarah daripada mahkamah tertinggi Sepanyol itu dan menyifatkan ia sebagai pengesahan muktamad terhadap prinsip keluhuran undang-undang.
"Ia membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa prosiding timbang tara yang didakwa oleh Kumpulan Sulu adalah hasil daripada tindakan tidak sah dan perbuatan jenayah oleh seorang penimbang tara yang bertindak secara tidak beretika sekali gus mengukuhkan pendirian Kerajaan Malaysia bahawa anugerah yang diperoleh Kumpulan Sulu adalah terbatal dan tidak sah," menurutnya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, mahkamah-mahkamah di Sepanyol, Perancis dan Belanda kini telah mengesahkan bahawa pendirian Malaysia dalam kes Sulu adalah tepat serta berasas.
Susulan keputusan itu, kerajaan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kabinet, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Menteri Luar, Peguam Negara dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Pejabat Perdana Menteri atas sokongan padu, kerjasama serta komitmen mereka dalam mempertahan kedaulatan dan kepentingan Malaysia sepanjang pertikaian perundangan di peringkat antarabangsa yang rumit ini.
Kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada Bilik Operasi Sekretariat Khas Sulu dan semua agensi yang berkaitan termasuk Majlis Keselamatan Negara serta peguam yang mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Kerajaan Malaysia mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mempertahan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara daripada tuntutan tidak berasas seperti penipuan yang dilakukan dalam kes Sulu," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris kepada Kesultanan Sulu telah memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar Amerika Syarikat daripada Malaysia membabitkan isu Sabah.
Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid telah melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi mendengar tuntutan mereka.
Malaysia telah melakar kejayaan bersejarah dalam pertikaian yang berlarutan itu apabila mahkamah di Luxembourg, Mahkamah Rayuan The Hague di Belanda, Mahkamah Rayuan Paris di Perancis dan mahkamah di Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepadanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial