Polis Dapat Maklumat Baharu Kes Lelaki Hilang Ke Thailand

16/10/2025 01:28 PM

BALIK PULAU, 16 Okt (Bernama) -- Polis mendapat beberapa maklumat baharu berkaitan lelaki yang dikatakan pergi ke Thailand untuk bekerja di sana sebelum diculik sehingga ibunya terpaksa membayar sejumlah wang untuk menyelamatkannya daripada sindiket penipuan pekerjaan, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mendedahkan secara terperinci maklumat terbabit kerana siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Kami sedang mengesan lelaki yang dilaporkan hilang itu dan percaya dia masih berada di dalam negara kerana tiada rekod perjalanan ke luar negara sejak 2019.

"Polis juga sedang mengesan pemilik akaun e-dompet antarabangsa yang digunakan bagi transaksi oleh ibu mangsa untuk pembayaran yang dituntut sindiket bagi membebaskan lelaki itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 347 dan 384 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan hasil siasatan pihak polis mendapati lelaki itu tidak pernah ke luar negara sejak 21 Okt 2019 dengan kali terakhir dia ke China pada 13 Okt 2019 dan pulang pada 21 Okt tahun yang sama serta polis menjalankan siasatan kes itu dari pelbagai sudut.

Sazalee dilaporkan berkata pihaknya membuka kertas siasatan kes itu selepas ibu mangsa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan anaknya.

Sebelum ini, media melaporkan lelaki berkenaan dikenali sebagai Lai, 25, yang sebelum ini bekerja sebagai kontraktor ubah suai, dipercayai diculik sindiket penipuan kerja di Thailand dan dikawal sepenuhnya sejak pertengahan bulan lepas.

Ibunya yang ingin dikenali sebagai Rose, 52, dilaporkan berkata dia mula berkomunikasi dengan sindiket itu pada 16 Sept lepas setelah menerima mesej meminta wang tebusan bagi membebaskan anaknya dengan ugutan tangan anaknya akan dipotong jika enggan membayar wang itu.

Wanita terbabit dilaporkan berkata dia hanya sempat mendengar suara anaknya sebentar ketika panggilan dibuat, dipercayai di bawah kawalan sindiket.

Wanita itu membuat bayaran pertama sebanyak USD5,000 (RM23,500) selepas menerima ancaman, diikuti bayaran kedua berjumlah USD8,000 (RM37,600) sebelum sindiket menuntut tambahan USD2,000 (RM9,400).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan