Lebih 250,000 Peserta Sertai Program Pendidikan, Pencegahan Kebakaran Anjuran JBPM

18/10/2025 07:08 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Lebih 250,000 murid, pelajar institusi pengajian tinggi dan pemimpin komuniti daripada pelbagai peringkat umur menyertai 1,081 program pendidikan serta pencegahan kebakaran anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi tempoh 9 hingga 11 Okt lepas di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata program pendidikan serta pencegahan itu adalah usaha berterusan dalam membudayakan keselamatan kebakaran dalam kalangan masyarakat.

“Sebanyak 1,081 program telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan pelbagai aktiviti kesedaran dan pendidikan berkaitan pencegahan kebakaran,” katanya selepas merasmikan Karnival Hari Pencegahan Kebakaran Tahun 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan kebakaran.

“Kami percaya pembudayaan berkaitan keselamatan kebakaran adalah langkah terbaik yang boleh dilaksanakan bagi mengelakkan kebakaran daripada berlaku. 

“Keduanya ialah jika berlaku kebakaran, masyarakat ataupun ahli komuniti dapat mengambil langkah perlu untuk melaksanakan tindakan awal khususnya menyelamatkan mangsa,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Nor Hisham berkata tiga perkara penting iaitu pendidikan, pembudayaan dan penguatkuasaan menjadi tunjang utama pencegahan kebakaran. 

“Segalanya bermula dengan ilmu. Matlamat kami adalah untuk melahirkan generasi dan masyarakat yang bukan sahaja tahu tentang kebakaran tetapi bertindak secara automatik bila keadaan memerlukan.

“Benih ilmu keselamatan kebakaran ini sudah disemai bermula pada peringkat awal pendidikan kanak-kanak sehingga ke peringkat komuniti,” katanya.

Mengenai karnival itu, beliau berkata ia adalah ia wadah pendidikan dan kesedaran awam dalam suasana yang lebih santai dan mesra masyarakat bagi memperkukuh tanggungjawab bersama mencegah kebakaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan