BUTTERWORTH, 19 Okt (Bernama) -- Abang kepada Sariya Che Hin, 51, wanita yang ditemukan maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, dekat sini semalam, masih terkejut dan belum dapat menerima bahawa adiknya sudah tiada.
Abang mangsa, Bismi Che Hin, 60, ketika ditemui di pekarangan Hospital Seberang Jaya berkata keluarganya menyifatkan pemergian adiknya itu sebagai sangat menyedihkan dan tidak disangka-sangka serta berharap pihak yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Bismi berkata Sariya yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik, mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu dan baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan suaminya beberapa tahun lepas namun tidak dikurniakan anak.
“Dia (Sariya) juga memelihara dua anak angkat dan kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia bersamanya itu adalah anak angkat yang dijaga sejak kecil.
“Apa yang saya tahu adik saya seorang yang baik dan peramah,” katanya sambil menambah jenazah Sariya dan anak angkatnya akan dibawa pulang ke Jeneri, Kedah untuk pengebumian.
Sementara itu, tinjauan Bernama di rumah mangsa di Kampung Sekolah Juru hari ini mendapati lokasi kejadian masih dikawal anggota polis.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi berkata pihaknya telah menahan reman suami mangsa berusia 57 tahun sehingga 25 Okt ini bagi membantu siasatan.
Semalam, peniaga kuih Sariya dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui maut dipercayai dibunuh dan mayat mereka ditemui suami mangsa kira-kira 7.30 malam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial