Kes Penipuan E-dagang, Kerja Sambilan Dalam Talian Di Kelantan Meningkat Ketara

21/10/2025 11:48 AM

KOTA BHARU, 21 Okt (Bernama) -- Kelantan merekodkan peningkatan ketara dalam beberapa kategori jenayah komersial termasuk penipuan e-dagang dan tawaran kerja sambilan dalam talian bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penipuan e-dagang mencatatkan 310 kes dengan kerugian RM2.34 juta tahun ini, berbanding 154 kes dengan kerugian RM1.34 juta tahun lepas.

“Penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian turut meningkat daripada 66 kes (RM1.45 juta) kepada 165 kes (RM3.43 juta) bagi tempoh sama.

“Jenayah siber lain juga menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila jumlah kes melonjak daripada 189 kes dengan kerugian RM4.14 juta pada 2024 kepada 344 kes berjumlah RM6.90 juta tahun ini,” katanya pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bagi Oktober, di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata peningkatan itu membuktikan bahawa jenayah komersial terus menjadi ancaman utama yang semakin kompleks dengan pelbagai modus operandi baharu, sekali gus memerlukan tindakan lebih holistik.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan terus memperkukuh strategi pencegahan, memperhebat risikan serta memperluas jaringan kerjasama antara agensi bagi mengekang jenayah siber dan melindungi kesejahteraan ekonomi rakyat.

Mengenai jenayah narkotik pula, Mohd Yusoff berkata sebanyak 20,476 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding 21,252 kes tahun sebelumnya.

“Tangkapan pesalah narkotik turut menurun lima peratus, daripada 22,692 orang pada 2024 kepada 21,564 orang tahun ini, manakala nilai rampasan dadah meningkat 69 peratus daripada RM14.72 juta kepada RM24.83 juta bagi tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata angka berkenaan bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan keberkesanan strategi pencegahan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan oleh pegawai serta anggota di lapangan.

Bagi jenayah kekerasan, beliau berkata trend peningkatan masih perlu diberi perhatian apabila kes bunuh meningkat dua kes (100 peratus), kes rogol naik 17 kes (14.9 peratus), kes samun tanpa senjata api meningkat satu kes (2.4 peratus) dan kes mencederakan meningkat 16 kes (13.6 peratus).

“Peningkatan ini menuntut setiap pegawai dan anggota untuk kekal proaktif, waspada serta cekap dalam menghadapi cabaran keselamatan semakin kompleks,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan