Tetak Isteri Dan Anak Di Sibu, Lelaki Dipenjara 20 Tahun

04/11/2025 05:53 PM

SIBU, 4 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun terhadap seorang lelaki berumur 58 tahun selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri dan anak perempuannya menggunakan parang.

Rahim Shim Abdullah didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di sini pada 5.38 pagi, 29 Okt lepas.

Menurut kertas pertuduhan, Rahim didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya, Fatimah Mohammad@Foung Swee Fung, 46, dan anaknya Nohaida Shim Mee Jiun, 20, menggunakan parang, di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 326A kanun sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, denda, atau sebatan, manakala Seksyen 326A membenarkan hukuman digandakan apabila jenayah itu melibatkan ahli keluarga.

Semasa kejadian, kedua-dua mangsa mengalami luka tetakan dan dikejarkan ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan, manakala tertuduh melarikan diri sebelum ditahan polis berhampiran dusun durian di Kanowit.

Dalam mitigasi, Rahim yang tidak bekerja sejak pandemik COVID-19 memberitahu mahkamah bahawa dia menyesali tindakannya itu dan mendakwa berada dalam tekanan emosi selepas sering bertengkar dengan isterinya dipercayai akibat kecurangan.

Dia yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas sebab masalah kesihatan dan menanggung isteri serta tiga anaknya.

Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry, bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman pencegahan berikutan tindakan lelaki terbabit adalah serius kerana membahayakan nyawa isteri dan anaknya sendiri serta menggunakan senjata berbahaya.

Hakim Musyiri Peet ketika menjatuhkan hukuman itu berkata tindakan tertuduh tidak boleh dimaafkan walaupun berlaku pertengkaran dan tekanan emosi.

"Sebagai ketua keluarga, tertuduh bertanggungjawab untuk melindungi isteri dan anaknya. Sebaliknya, dia telah menyebabkan kecederaan parah terhadap mereka, melanggar amanah dan tanggungjawab yang diharapkan daripadanya," kata hakim itu.

Dengan mengambil kira sifat dan keseriusan kesalahan berkenaan, mahkamah memerintahkan Rahim dipenjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, dengan hukuman berjalan serentak, menjadikan jumlah hukuman penjara 20 tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan