KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dengan menyamar sebagai pengarah syarikat pengurusan kewangan sehingga mangsa mengalami kerugian RM900,000.
Teong Chooi Tim, 33, didakwa menipu seorang individu berusia 33 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh adalah pengarah syarikat berkenaan dan menawarkan pulangan keuntungan lumayan dengan bayaran modal perniagaan berjumlah RM900,000.
Perbuatan itu mendorong mangsa membuat pemindahan wang berkenaan menerusi 31 transaksi ke dalam 17 akaun, dan mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kediaman di Persiaran Alam Damai, Cheras antara 25 Nov dan 22 Dis 2023 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat sehingga kes selesai.
Peguam Ng Mei Yi pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan dan menanggung kos perubatan bapa yang sudah tua selain menghidap penyakit kronik.
Hakim Norma Ismail membenarkan Teong diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pendakwaan, dan menetapkan 27 Jan depan untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial