Ops Dadu Mega: Polis Serbu 21 Premis, Tahan 85 Individu

24/12/2025 08:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Polis menahan 85 individu disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian menerusi OPS Dadu Mega secara serentak di seluruh negara dari Sabtu lepas hingga semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar berkata sebanyak 21 premis diperiksa dengan 20 daripadanya didapati dijadikan pusat panggilan aktiviti perjudian yang mengurus dan mempromosikan laman web perjudian.

Beliau berkata turut dirampas ialah alat perkakasan komputer, tablet, telefon bimbit dan pelbagai peralatan lain. 

“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara termasuk dari Filipina, China dan Australia manakala sebuah lagi premis diserbu ialah pusat panggilan aktiviti pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata kesemua ditahan terdiri daripada 62 lelaki dan 23 wanita itu yang dipercayai bertindak sebagai operator serta pegawai khidmat pelanggan bagi kegiatan perjudian itu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 47 merupakan warga tempatan dan 38 warga asing.

Mereka ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Kumar berkata sejak 1 Jan pihaknya menyerbu 117 premis yang dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti perjudian dan menahan 731 individu berkaitan kegiatan itu.

“Operasi seperti ini akan terus dipergiat untuk membenteras aktiviti perjudian tanpa lesen dan dalam masa sama orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat bagi membantu polis membenteras kegiatan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan