Pekerja Lelaki Maut, Seorang Cedera Di Tapak Pembinaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra

24/12/2025 09:23 PM

KOTA BHARU, 24 Dis (Bernama) -- Seorang pekerja lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden di tapak pembinaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Tanpa mendedahkan perincian lanjut punca kejadian, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa Mohammad Shamsudin Ismail berkata anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.49 petang dan tiba 18 minit kemudian dengan jarak kira-kira lapan kilometer.

"Setibanya pasukan BBP Pengkalan Chepa di lokasi, kami mendapati terdapat kemalangan melibatkan dua lelaki dewasa iaitu seorang patah kaki kanan dan seorang lagi telah meninggal dunia. 

"Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Muhammad Mas Idham Mahamad berusia 22 tahun dan berasal dari Banting, Selangor. Jenazah mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan