Perolehan Projek Tentera Darat: SPRM Rakam Keterangan Tiga Individu

25/12/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung perolehan projek Tentera Darat, semalam.

Menurut sumber, SPRM turut mempergiat siasatan berhubung kes terbabit yang dimulakan 23 Dis lepas dengan membuat semakan akaun disyaki terbabit rasuah perolehan.

“Siasatan awal mendapati bermula 2023 sehingga 2025, perolehan Tentera Darat yang melebihi RM500,000 adalah sebanyak 158 projek manakala bagi perolehan di bawah RM500,000 pula 4,521 projek.

"Semakan awal terhadap kesemua projek tersebut mendapati terdapat beberapa buah syarikat kerap memperoleh projek dengan nilai yang tinggi dan perkara terbabit agak meragukan,” katanya.

Menurut sumber, semakan terperinci masih belum dilakukan mengenai profiling syarikat-syarikat yang menerima kontrak ini.

Semalam, SPRM mengambil aduan dan merakam keterangan aktivis Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard  di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, kira-kira 12 tengah hari mengenai perincian maklumat yang beliau peroleh.

Pada Selasa lepas, pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan