KANGAR, 30 Dis (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada tahun lepas dan tahun ini.
Muhammad Farhan Abdul Karim, 34, minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan itu yang kini berusia 15 tahun di beberapa lokasi di sini pada November 2024 serta antara Jun, Julai, September dan Oktober lepas.
Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah kenderaan Proton Waja milik pasukan Polis Diraja Malaysia berhadapan Bengkel Reka Bentuk Teknologi & Teknologi 1 sebuah sekolah menengah, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di tandas perempuan dan tandas lelaki sekolah yang sama, serta di sebuah hotel dan rumah di Taman Hijrah di sini.
Muhammad Farhan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan jika didapati bersalah.
Ana Rozana kemudiannya membenarkan Muhammad Farhan diikat jamin berjumlah RM42,000 bagi kesemua pertuduhan itu, berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 20 Jan 2026 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi, manakala Muhammad Farhan diwakili Peguam Hasnor Arysha Hamdan dan Nurul Hanani Che Nor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial