SHAH ALAM, 31 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor berjaya merekodkan sebanyak 258,345 penyelesaian saman trafik dengan nilai kutipan keseluruhan mencecah RM19.5 juta sepanjang dua bulan pelaksanaan Program Pengurangan Saman PDRM 70 peratus bermula 1 Nov lepas hingga semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata ia merangkumi 125,759 saman POL 257 (RM11,491,650) dan 132,586 saman POL 170A (RM8,019,700) dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan mencatatkan kutipan tertinggi sebanyak RM2.7 juta, diikuti IPD Petaling Jaya (RM2.1 juta) dan IPD Kajang (RM1.7 juta).
“PDRM Selangor melihat satu trend positif iaitu penggunaan teknologi digital semakin diterima rakyat. Walaupun pembayaran secara tunai masih tinggi dengan kutipan RM10,059,470, kaedah e-pembayaran menunjukkan angka yang sangat signifikan iaitu sebanyak RM9,451,880.
“Hal ini membuktikan bahawa masyarakat kini lebih cenderung terhadap urusan yang pantas dan efisien selaras dengan transformasi digital negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas komitmen orang ramai dalam menjelaskan tunggakan saman masing-masing.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, tetapi juga pemangkin kepada tahap kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya yang lebih tinggi demi kesejahteraan semua pengguna di negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial