KOTA BHARU, 4 Jan (Bernama) -- Polis menubuhkan pasukan khas (task force) bagi mengesan individu yang terlibat dalam perbuatan mengugut dengan menconteng dinding pagar Lapang Sasar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok, yang dipercayai berlaku pada 22 Dis lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk cabaran terbuka terhadap pihak berkuasa meskipun tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh golongan muda.
Beliau berkata pihaknya sedang mengesan dalang di sebalik kejadian itu dengan mengumpul maklumat termasuk daripada penduduk setempat dan memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Mereka yang berbuat demikian boleh disifatkan sebagai kurang ajar kerana sanggup mengugut pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas memerangi jenayah. Perbuatan ini seolah-olah mencabar kewibawaan pasukan keselamatan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata ini kali pertama ugutan sedemikian diterimanya secara terbuka dan bertulis berbanding sebelum ini yang diperoleh melalui maklumat risikan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.
“Saya percaya ugutan ini memang ditujukan kepada saya berikutan ketegasan polis dalam menjalankan operasi terhadap pelbagai kegiatan jenayah termasuk dadah, along dan jenayah terancang di negeri ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang ugutan tidak akan mematahkan semangatnya serta anggota polis Kelantan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan awam dan keharmonian masyarakat.
Semalam, tular di media sosial mengenai contengan berbaur ugutan menggunakan cat merah pada dinding pagar lapang sasar tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial