ALOR SETAR, 4 Jan (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan iaitu mengeluarkan perkataan yang melukakan perasaan penganut agama Islam, menggunakan kekerasan jenayah dan menunjukkan jari tengah kepada seorang anggota polis.
Teoh Siew Li, 35, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Bagi pertuduhan pertama, Teoh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan meludah ke arah seorang anggota polis dengan niat menghalangnya menjalankan tugas di Jalan Perusahaan 2, Taman Bandar Baru Mergong pada 12 tengah hari, 31 Dis lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Teoh didakwa mengeluarkan perkataan mengaibkan dan menunjukkan jari tengah kepada anggota polis sama pada tempat, masa dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang jika didapati bersalah, boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Wanita itu turut didakwa sengaja melukakan perasaan penganut Islam dengan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam, di lokasi serta masa sama dan kes didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jan ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial