Juruteknik Dihanyutkan Arus Di Jeram Besu Ditemukan Lemas

04/01/2026 08:25 PM

KUANTAN, 4 Jan (Bernama) -- Seorang juruteknik yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika mandi di pusat rekreasi Jeram Besu, Raub pada Khamis lepas, ditemukan lemas hari ini. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Salahuddin Isa berkata mayat Mohamat Firdarus Jamaidi, 25, dijumpai pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 3.40 petang.

“Mangsa ditemukan kira-kira 700 meter dari tempat kejadian selepas pasukan bomba melakukan pencarian di permukaan air di Lubuk Biara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. 

Menurut Mohd Salahuddin pasukan SAR berdepan kesukaran dalam operasi itu berikutan keadaan air sungai yang pasang besar dan arus deras, selain jarak penglihatan terhad serta cuaca tidak menentu. 

Beliau menasihati orang ramai supaya lebih berwaspada khususnya ketika berada di kawasan sungai, pantai dan perairan terbuka memandangkan negara kini masih berada dalam fasa Monsun Timur Laut yang boleh menyebabkan paras air meningkat secara mendadak dan arus deras. 

Pada 1 Jan lepas, media melaporkan Mohamat Firdarus ke pusat rekreasi itu bersama isterinya sebelum disedari dihanyutkan arus ketika mandi di sungai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan