Langkah Reformasi Institusi, perkukuh Sistem Demokrasi Negara

05/01/2026 06:41 PM

PUTRAJAYA, 5 Jan (Bernama) -- Langkah reformasi institusi yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau sepuluh tahun serta pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai satu perkembangan penting dalam memperkukuh sistem demokrasi negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah-langkah reformasi itu adalah kritikal bagi mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh dalam institusi negara, di samping mengelakkan penumpuan atau monopoli kuasa dalam jawatan-jawatan utama.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri untuk melaksanakan reformasi institusi yang penting.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk merealisasikan agenda reformasi institusi ini demi memperkukuh demokrasi, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik, selaras dengan kepentingan rakyat serta demi masa depan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nga berkata kerajaan turut berhasrat memperkukuh kepercayaan awam serta prinsip ketelusan melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kebebasan Maklumat 2026 dengan memberikan akses lebih luas kepada rakyat terhadap maklumat serta keputusan kerajaan.

Beliau berkata akta itu dijangka melengkapkan peranan Majlis Media Malaysia dalam memastikan akses kepada maklumat yang tepat dan relevan, sekali gus melahirkan masyarakat MADANI yang mampu membuat keputusan penting dan berinformasi dalam kehidupan seharian.

Menurut Nga, pengumuman sempena Amanat Perdana Menteri Tahun 2026 itu adalah kesinambungan kepada kejayaan-kejayaan terdahulu Kerajaan MADANI sepanjang tempoh tiga tahun pentadbiran.

Antara pencapaian utama kerajaan ialah penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memberikan autonomi kepada Parlimen untuk mengurus tadbir dan pentadbirannya sendiri, sekali gus memperkukuh doktrin pengasingan kuasa.

Kerajaan turut memperkenalkan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, mengurangkan kerenah birokrasi sekurang-kurangnya 25 peratus dalam tempoh tiga tahun serta memperkukuh akauntabiliti dalam tadbir urus.

Selain itu, Akta Perolehan Kerajaan 2025 digubal bagi mengukuhkan ketelusan, integriti dan kecekapan dalam proses perolehan awam bagi memastikan dana awam digunakan secara berkesan demi manfaat rakyat.

Dalam aspek hak asasi dan kesaksamaan gender, Nga berkata pemberian kewarganegaraan secara automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing adalah satu langkah progresif yang mengangkat martabat wanita serta prinsip kesaksamaan antara jantina.

“Jelas reformasi yang sedang rancak dilakukan oleh Kerajaan MADANI bukan saja menunaikan janji manifesto, ia juga sudah pasti akan meningkatkan tahap ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam sistem pentadbiran serta perundangan negara.

“Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh bersama Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri supaya Malaysia terus menuju ke arah kecemerlangan serta disanjung tinggi di pentas dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan